ZBC TM Melaka

Monday 21 May 2012

Program Gotong-Royong CSR-SL1M TM 2012

Pada 20 Mei 2012, Pihak TM Melaka dengan kerjasama Universiti Multimedia Melaka, Unit PR/AP, TM Melaka, Unit Operasi Perniagaan Modal Insan,TM Melaka, dan Kumpulan
Pengurusan Modal Insan, Ibu Pejabat TM telah menganjurkan Program Gotong-Royong CSR-SL1M TM 2012 yang telah diadakan di Pantai Kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka. Program ini telah berlangsung dari 8.00 pagi hingga 12.15 tengah hari.
Matlamat program ini adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara Kumpulan TM Melaka dengan penduduk kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka, serta mendedahkan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan kepada pelatih-pelatih SL1M.
Program ini telah mendapat sambutan yang begitu memberangsangkan dengan penyertaan dan kehadiran 100 pelatih SL1M, 50 penduduk kampung Balik Bukit, Tanjung Kling, Melaka, 25 anggota Universiti Multimedia Melaka dan 30 anggota TM Melaka.

Sebelum program bermula, taklimat ringkas telah diberikan oleh Encik Zulkifli Mansor, Penolong Pengurus, Operasi Perniagaan Modal Insan, TM Melaka mengenai kawasan-kawasan yang perlu dibersihkan, peralatan gotong-royong yang telah disediakan dan perkara lain berkaitan aktiviti gotong-royong tersebut.

Program ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hj. Ab. Rahaman Hj Ab. Karim, ADUN Pantai Kundor merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Belia dan Sukan.
Negeri Melaka. Yang Berhormat Datuk menunjukkan sokongan yang jitu dengan kehadiran dan ucapan beliau pada hari tersebut walaupun jadual beliau padat tetapi masih meluangkan masa untuk menghadiri serta merasmikan program ini.

Senarai jemputan VIP  yang turut bersama-sama memberikan sokongan adalah :-

1.Yang Berbahagia En. Rozlan Mohamed, Pengurus Besar TM Negeri Melaka
2.Yang Berbahagia Datuk Prof. Madya Dr. Abu Bakar B. Md. Diah
3.Yang Berbahagia En. Azman Shah Mohamad, Pengurus Besar Bahagian Imbuhan Dan Prestasi,  
    Kumpulan Pengurusan Modal Insan, Ibu Pejabat TM
4.Yang Berusaha Puan Doktor Madhubala Bava Harji, Pengarah Fosee Universiti Multimedia   
    Melaka
5.Yang Berusaha En. Shamsul Bahrin Mohamad, Penolong Pengurus Besar, Unit Perancangan  
   Modal Insan, Kumpulan Pengurusan Modal Insan, Ibu pejabat TM merangkap Pengarah Projek 
   SL1M 2012.
6. Yang Berusaha Puan Nor Hamizwa Mohd Nor, Penolong Pengurus Besar, Operasi Perniagaan   
    Modal Insan, Kawasan Selatan TM.
7. Yang Dihormati Encik Khairulazni Bin Baharudin, Pengerusi JKK Tanjung Kling, Melaka
7. Tuan Roslan Abdul Aziz, Ketua Balai Polis Tanjung Kling, Melaka
8. Ahli Majlis MBMB, Tuan Hj. Kassim Bin Karim
9. Tuan Hj. Abu Bakar, selaku pembaca doa untuk majlis ini

Semua peserta yang menyertai program ini dilihat begitu bersemangat di samping menunjukkan ikatan kesepakatan dan saling tolong-menolong antara satu sama lain dalam melakukan aktiviti gotong-royong ini.

Segenap kawasan pantai Balik Bukit, Tanjung Kling telah berjaya dibersihkan oleh peserta-peserta program. Pihak MBMB juga bersama-sama menunjukkan sokongan dengan menghulurkan bantuan dalam mengangkut sampah yang telah dikumpul dan dibersihkan oleh peserta-peserta program ini.

Di samping itu juga, gerai jualan TM Melaka juga telah dibuka pada hari tersebut dengan memberi pakej promosi istimewa kepada penduduk kampung serta peserta program iaitu dengan melanggan pakej talian telefon serta internet dari TM, notebook HP percuma akan diberikan, terhad untuk hari tersebut sahaja.

Untuk penutup program, acara karaoke serta acara cabutan bertuah telah diadakan, dilihat ramai peserta yang berbakat mendendangkan lagu. Yang Berbahagia En. Rozlan Mohamed, Pengurus Besar TM Negeri Melaka juga tidak terlepas untuk mendendangkan sebuah lagu kepada semua peserta pada hari tersebut. Acara cabutan bertuah amat dinantikan oleh semua peserta dan ini memperlihatkan tanda penghargaan kepada semua peserta yang terlibat selepas penat melakukan aktiviti gotong-royong.

Sememangnya Program Gotong-Royong CSR-SL1M TM 2012 telah mencapai matlamat dengan jayanya. Pihak TM Melaka mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat untuk program yang dianjurkan ini.








No comments:

Post a Comment